Pernahkah anda mengalami mata berkedip dengan sendiri? Ianya berkedip berulang kali dan tidak dapat dikawal. Biasanya ia terjadi pada kelopak mata atas, namun ada juga yang mengalami pada kelopak mata bawah. Mata berkedip (eye twitching) atau dalam bahasa saintifiknya myokymia adalah kekejangan otot pada kelopak mata. Kebiasaannya berlaku beberapa saat dan akan hilang dengan sendirinya. Ianya tidak menyakitkan malah tidak juga mendatangkan bahaya tetapi situasi ini mengganggu dan menyebabkan ketidakselesaan kepada individu yang mengalaminya. Walaubagaimanapun masalah ini mungkin menjadi tanda awal bagi penyakit kronik sekiranya kekejangan kelopak mata tersebut melibatkan waktu yang lama atau pergerakan yang tidak terkawal pada bahagian muka yang lain.
Antara punca terjadinya mata berkedip (eye twitching)
- Tekanan mental dan keletihan
- Pengambilan kafein/alkohol
- Mata kering
- Menghadap skrin komputer/telefon/buku terlalu lama
Kadangkala keadaan mata berkedip tanpa henti boleh menjadi tanda masalah yang lebih serius seperti:
- Radang pada kelopak mata (Blepharitis)
- Kekejangan pada otot mata (Blepharospasm)
- Kekejangan otot muka (Facial spasm)
Walaubagaimanapun, ada sesetengah individu mengalami kesan sampingan daripada masalah ini. Antaranya ialah:
- Kelopak mata jatuh (Ptosis)
- Penglihatan berganda (Diplopia)
- Kabur penglihatan
- Mata berair yang berlebihan
Oleh itu, sekiranya anda mengalami kesan sampingan seperti ini, dapatkan rawatan daripada doktor pakar mata secepat mungkin.
Cara atasi mata berkedip (eye twitching)
Mata berkedip biasanya hilang sendiri tanpa rawatan. Anda boleh mengelaknya daripada kerap berlaku dengan mengatasi punca-punca masalah ini seperti:
- Mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi
- Kurangkan pengambilan kafein/alkohol
- Minum air secukupnya, tingkatkan kekerapan kedipan mata dan menggunakan titisan air mata tiruan jika perlu untuk masalah mata kering
- Hadkan masa semasa menggunakan komputer, telefon atau membaca
Sekiranya blepharospasm terjadi, rawatan suntikan botulinum toxin (botox) boleh digunakan bagi meredakan kekejangan. Manakala untuk kes blepharospasm yang teruk pembedahan akan dilakukan.