Kelopak mata adalah lipatan kulit yang berada di atas dan bawah mata. Pada kelopak mata pula terdapat bulu mata yang mana keduanya-duanya berfungsi untuk melindungi mata daripada kecederaan dan benda asing, cahaya berlebihan serta membantu dalam penyebaran air mata yang dihasilkan oleh kelenjar air mata.
Pemakaian maskara dan penggaris mata (‘eyeliner’) adalah untuk serlahkan kecantikan mata anda. Namun begitu, mungkin tidak terlintas difikiran anda bahawa penggunaan solekan mata boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku pada kelopak mata seterusnya menyebabkan keradangan dan gangguan penglihatan. Menurut FDA, alat solekan adalah selamat daripada pencemaran ketika anda membelinya, namun setelah beberapa kali penggunaanya kemungkinan kuman yang berada pada kulit anda boleh merebak dan membiak pada alat solekan. Oleh itu, anda digalakkan untuk kerap menukar alat solekan dan ianya sangat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman berlaku.
Simptom-Simptom Radang Mata
- Mata merah dan berair
- Mata rasa sakit dan bengkak
- Sensitif terhadap cahaya
- Kabur penglihatan
Jenis-Jenis Infeksi/Radang Mata
- Radang luaran mata – Ketumbit adalah bisul kecil hasil daripada jangkitan kuman ke atas akar (folikal) bulu mata
- Radang luaran mata – ‘Conjunctivitis’ adalah radang konjunktiva yang disebabkan oleh jangkitan kuman seperti bakteria dan virus
- Radang kelopak mata – ‘Blepharitis’ adalah keradangan kelopak mata disebabkan kelenjar minyak kecil berhampiran pangkal bulu mata tersumbat
- Radang dalam mata – ‘Endophthalmitis’ adalah radang serius pada bahagian dalam mata disebabkan oleh kuman
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa solekan dan wanita tidak dapat dipisahkan. Ianya merupakan rutin harian bagi kebanyakan wanita di seluruh dunia. Oleh itu, berikut adalah langkah-langkah mudah dan penting bagi anda untuk mengelakkan masalah mata yang tidak diingini.
Petua Menggunakan Solekan Mata Dengan Selamat
- Elakkan penggunaan alat solekan yang sudah tamat tempoh kerana ianya meningkatkan risiko jangkitan disebabkan pembentukan kulat dan bakteria. Walaupun kebanyakan alat solek mengandungi bahan pengawet, bakteria masih boleh terbentuk. Sekiranya anda tidak pasti jangka hayat sesuatu produk, anda dinasihati supaya buang selepas 3 bulan penggunaannya.
- Bersihkan solekan mata sebelum tidur. Ini adalah penting untuk mengelakkan pengumpulan solekan pada kawasan kelopak mata yang boleh menyebabkan radang mata.
- Elakkan memakai solekan pada tepi kelopak mata. Tepi kelopak mata anda (margin kelopak mata, berhampiran tempat bulu mata anda tumbuh) mengandungi kelenjar minyak (kelenjar meibomian). Kelenjar ini menghasilkan komponen berminyak yang berfungsi mengekalkan kelembapan mata. Penggunaan solekan pada tepi kelopak mata boleh menyebabkan kelenjar pada kawasan tersebut tersumbat, lalu menyebabkan masalah mata kering dan tidak selesa.
- Elakkan berkongsi alat solek. Berkongsi alat solekan adalah berbahaya kerana ianya boleh meningkatkan risiko penularan jangkitan yang boleh menyebabkan konjunktivitis.
- Baca label dan elakkan bahan berbahaya. Sebelum anda membeli sesuatu produk solekan, pastikan anda membaca dan mengenalpasti kandungan yang digunakan. Terdapat sesetengah bahan yang digunakan berbahaya untuk kulit dan boleh meningkatkan risiko kanser.
Kesimpulannya, pemakaian dan pengamalan teknik membersihkan solekan yang salah berisiko membahayakan mata anda. Sekiranya mata anda mengalami kemerahan, kesakitan, tidak selesa, atau kabur penglihatan, hentikan penggunaan solekan mata dan dapatkan rawatan dengan pakar mata secepat mungkin.