
Reviewed by Dr Jimmy Lim Ing Hong, Consultant Ophthalmologist and Refractive Surgeon of OasisEye Specialists | Last updated: September 2026
Ketumbit mata ialah benjolan kecil bernanah dan tidak selesa pada kelopak mata yang berlaku apabila kelenjar minyak di pangkal bulu mata tersumbat dan dijangkiti bakteria.
Keadaan ini sangat biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa di Malaysia. Walaupun ia tidak membahayakan penglihatan secara langsung pada peringkat awal, ketumbit boleh menyebabkan ketidakselesaan yang ketara, gangguan penampilan, penglihatan kurang fokus sementara dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa jika berlaku kepada anak-anak.
Punca dan Faktor Risiko
Ketumbit mata (secara perubatan dikenali sebagai hordeolum) berkembang apabila saluran kelenjar minyak tersekat, membolehkan bakteria membiak.
- Jangkitan Bakteria (Staphylococcus aureus): Bakteria biasa yang biasa dijumpai di permukaan kulit mula membiak di dalam kelenjar yang tersumbat, ini menyebabkan keradangan dan bengkak bernanah.
- Keradangan Kelopak Mata Kronik (Blepharitis): Keadaan di bahagian tepi kelopak mata yang sentiasa berminyak atau bersisik meningkatkan risiko kelenjar tersumbat. Menurut statistik American Academy of Ophthalmology (AAO, 2023), pesakit dengan blepharitis mempunyai kebarangkalian jauh lebih tinggi untuk mendapat ketumbit berulang.
- Tabiat Menyentuh atau Menggosok Mata: Tangan yang tidak bersih boleh menyebabkan kotoran dan bakteria terus ke kawasan mata.
- Kebersihan Solek dan Kanta Lekap yang Lemah: Memakai kanta lekap tanpa membersihkan tangan atau menggunakan alat solek mata yang tamat tempoh atau tidak sesuai/sensitif kepada alat solek (contoh: eyeliner) dan ini boleh menyekat kawasan kelenjar minyak.
Peringkat Perkembangan Ketumbit
- Peringkat Awal (Hordeolum Akut): Kelopak mata akan mula kemerahan, rasa mengganjal (seperti ada habuk), dan sakit apabila disentuh. Benjolan kecil akan mula terbentuk.
- Peringkat Matang (Pengumpulan Nanah): Kelihatan benjolan menjadi semakin jelas dan titik putih atau kuning (nanah) kelihatan di tengah-tengah benjolan.
- Peringkat Pemulihan atau Chalazion: Kebiasaanya ketumbit akan pecah secara semula jadi dan sembuh, atau keradangan mereda tetapi ia akan meninggalkan benjolan keras yang tidak sakit (chalazion) disebabkan cecair minyak yang tersumbat menjadi keras.
Tanda dan Gejala
Untuk memudahkan anda mengenal pasti keadaan ini, gejala ini dibahagikan kepada beberapa perkara yang boleh dipantau di rumah atau perlu dinilai oleh pakar di klinik:
Apa yang Anda Boleh Nampak di Rumah:
- Benjolan merah dan membengkak di pinggir atau di dalam kelopak mata.
- Rasa sakit, pedih, atau mengganjal pada mata.
- Mata kerap berair dan peka terhadap cahaya (photophobia).
- Kelopak mata melekit terutamanya sewaktu bangun tidur.
Peringatan Mesra Pakar: Sekiranya bengkak merebak ke seluruh kelopak mata, mata menjadi sangat merah, atau anda mengalami gejala demam, sila dapatkan pemeriksaan pakar mata dengan segera.
Apa yang Dikesan oleh Pakar Oftalmologi (Di Klinik):
- Memeriksa sama ada jangkitan berada di kelenjar luar (external hordeolum) atau kelenjar dalaman (internal hordeolum).
- Memastikan bengkak tidak melibat jaringan tisu lembut di sekeliling mata (preseptal cellulitis).
- Memeriksa kesihatan lapisan filem air mata dan muara kelenjar Meibomian.
Cara Menghilangkan Ketumbit Mata Dalam Peringkat Awal: Pilihan Rawatan
Adakah ketumbit boleh hilang dalam masa 3 hari? Dalam tempoh 72 jam pertama, matlamat utama rawatan di rumah adalah untuk merangsang pengaliran semula minyak dan mempercepatkan proses penyembuhan semula jadi. Berdasarkan data American Academy of Ophthalmology (AAO) Preferred Practice Pattern (2023), mengikut anggaran purata, kira-kira 85% kes ketumbit beransur sembuh secara semula jadi dengan tuaman air suam tanpa memerlukan pembedahan.
Berikut adalah kategori rawatan yang selamat:
| Kategori | Jenis Rawatan | Apa la | Tujuan |
|---|---|---|---|
| Rawatan Utama di Rumah (Panduan 3 Hari Pertama) | Tuaman Air (Warm Compress) | Rendam kain bersih dalam air suam (tidak terlalu panas) dan tekapkan pada kelopak mata selama 10-15 minit, 3-4 kali sehari. | Haba suam membantu mencairkan minyak yang tersumbat di dalam kelenjar supaya nanah dapat keluar secara semula jadi. |
| Rawatan Utama di Rumah (Panduan 3 Hari Pertama) | Pembersihan Kelopak Mata (Eyelid Hygiene) | Membersihkan kelopak mata menggunakan eyelid wipes atau syampu bayi yang dicairkan. | Membuang kerak dan minyak berlebihan di sekeliling bulu mata. |
| Rawatan Perubatan (Preskripsi Pakar) | Ubat Titik / Salap Antibiotik | Ubat antibiotik khas untuk mata. | Digunakan jika jangkitan merebak ke kawasan sekitar atau jika ketumbit berlarutan. |
| Rawatan Perubatan (Preskripsi Pakar) | Suntikan Steroid Insisi & Kuratase (Incision & Curretage) | Prosedur kecil di mana pakar membuat bukaan kecil untuk mengeluarkan cecair tersumbat. | Untuk ketumbit degil atau benjolan keras (chalazion) yang tidak hilang selepas beberapa minggu. |
Langkah Pencegahan
Walaupun ketumbit tidak dapat dielakkan secara mutlak 100%, amalan kebersihan berikut boleh mengurangkan risiko kejadian berulang:
- Basuh Tangan: Amalkan membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh muka atau mata.
- Tanggalkan Solek Mata: Bersihkan semua sisa alat solek sebelum tidur.
- Penjagaan Kanta Lekap: Pastikan kanta lekap dicuci mengikut arahan dan elakkan memakainya sewaktu tidur.
- Rawat Blepharitis: Jika anda mempunyai masalah kelopak mata berminyak kronik, sila gunakan pembersih kelopak mata secara harian mengikut nasihat pakar.
Penafian Perubatan
Kandungan artikel ini adalah untuk tujuan maklumat dan pendidikan sahaja dan tidak menggantikan nasihat, diagnosis, atau rawatan perubatan profesional. Sentiasa dapatkan nasihat pakar mata atau penyedia perkhidmatan kesihatan bertauliah untuk sebarang soalan mengenai keadaan perubatan anda.
Senarai Rujukan
American Academy of Ophthalmology Cornea/External Disease Committee. (2023). Blepharitis Preferred Practice Pattern®. American Academy of Ophthalmology. https://www.aao.org/education/preferred-practice-pattern/new-preferredpracticepatternguideline-4
American Academy of Ophthalmology. (2023). Summary benchmarks for Preferred Practice Pattern® guidelines: Cornea/External disease. American Academy of Ophthalmology. https://www.aao.org/education/summary-benchmark-detail/cornea-external-disease-summary-benchmarks-2020
Soalan Lazim (FAQ)
Tidak. Ini adalah mitos masyarakat semata-mata. Ketumbit disebabkan oleh jangkitan bakteria dan kelenjar minyak yang tersumbat, bukannya akibat daripada perbuatan mengendap.
Tidak digalakkan. Hentikan penggunaan kanta lekap serta-merta sehingga ketumbit sembuh sepenuhnya bagi mengelakkan bakteria berpindah ke kanta lekap dan menyebabkan jangkitan kornea.
Ketumbit sendiri tidak secara langsung berjangkit seperti sakit mata (konjunktivitis). Walau bagaimanapun, bakteria pada cecair bernanah boleh berpindah melalui perkongsian tuala, sarung bantal, atau alat solek.
Kebanyakan ketumbit mula mereda dalam masa 3 hingga 5 hari dengan tuaman air suam dan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu. Sekiranya benjolan masih kekal selepas 2 minggu, pemeriksaan pakar mata adalah disyorkan.
Tidak boleh. Memicit ketumbit boleh merosakkan tisu lembut kelopak mata dan merebak jangkitan bakteria ke tisu sekeliling (cellulitis). Biarkan ia pecah secara semula jadi melalui bantuan tuaman air suam.





