OasisEye Specialists

Degenerasi Makula Berkaitan Usia (ARMD)

Degenerasi makula adalah penyakit yang berkait rapat dengan usia. Penyakit ini disebabkan oleh kerosakan pada bahagian makula.

Makula adalah satu kawasan kecil di bahagian tengah retina yang memiliki banyak sel penglihatan. Punca utama degenerasi makula kering masih tidak dapat dikenalpasti. Tetapi penyelidikan menunjukkan ianya mungkin dipengaruhi oleh faktor genetik dan factor persekitaran, termasuk merokok, obesiti dan diet. Apabila umur semakin meningkat, bermula pada usia 55 tahun dan keatas sesetengah berlakunya perubahan negatif pada makula. Kekurangan zat juga menyebabkan sel-sel di makula rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Perubahan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur sehingga menjadi buta.

Jenis-jenis Degenerasi Makula

  1. Degenerasi Makula Kering
    Lapisan makula menipis dan terbentuk mendapan lemak berwarna kuning yang dikenali sebagai “Drusen’. Kebiasaannya pada peringkat ini penglihatan akan terjejas apabila bilangan “drusen” semakin banyak dan saiz semakin besar.
  2. Degenerasi Makula Basah
    Salur darah tidak normal akan terbentuk di makula. Ini akan menyebabkan pendarahan berlaku dan penglihatan menjadi kabur. Meskipun jenis ini boleh mengakibatkan hilang penglihatan yang teruk, namun ianya jarang menyebabkan buta sepenuhnya.

Bagaimana pesakit degenerasi makula melihat?

Tanda-tanda awal yang mungkin anda perhatikan adalah kualiti penglihatan berkurang secara beransur-ansur atau garis lurus kelihatan bengkok dan senget. Apabila degenerasi makula berkembang, penglihatan pusat akan menjadi kabur. Oleh itu mereka mengalami kesukaran untuk membaca, mengenali wajah dan memandu. Mereka juga sensitif pada cahaya yang terang. Namun begitu mereka yang mengalami penyakit ini tidak akan mengalami kebutaan keseluruhan kerana penglihatan sisi (periferi) masih kekal.

Bolehkah degenerasi makula disembuhkan?

Walaupun tidak ada penawar untuk AMD, terdapat pilihan rawatan yang dapat mencegah atau melambatkan perkembangan penyakit ini. Rawatannya merangkumi ubat-ubatan, suntikan dan terapi laser. Rawatan terbaik untuk makula degenerasi basah adalah terapi anti-VEGF- iaitu suntikan bahan kimia yang disebut “anti-VEGF” secara intravitreal (ke dalam mata). Dalam kehidupan normal tubuh manusia, VEGF adalah molekul sihat yang menyokong pertumbuhan darah baru. Rawatan ini dapat membantu menghentikan kebocoran salur darah yang disebabkan oleh makula degenerasi basah.

Bagaimana anda mencegah degenerasi makula menjadi lebih teruk?

  • Mengekalkan berat badan yang sihat
  • Makan makanan berkhasiat yang merangkumi sayur-sayuran berdaun hijau, buah kuning dan oren, ikan dan bijirin
  • Tidak merokok
  • Mengekalkan tekanan darah normal dan mengawal penyakit yang lain
  • Bersenam secara berkala

Walaupun degenerasi makula tidak dapat dicegah tetapi dengan rawatan awal dapat melambatkan perkembangannya agar tidak dapat komplikasi yang teruk. Oleh itu, penting untuk menjalani pemeriksaan mata setiap tahun apabila usia mencecah 40 tahun dan ke atas.