OasisEye Specialists

Ketumbit: Perbezaan, Punca Dan Rawatan

Ketumbit adalah benjolan kecil pada kelopak mata. Terdapat dua jenis ketumbit iaitu ‘stye’ (hordeolum luaran) dan chalazion (hordeolum dalaman). Jadi, apakah perbezaan antara mereka? Stye adalah benjolan kecil berpunca daripada jangkitan kuman ‘staphylococcus aureus’ yang menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak, kemerahan dan sakit. Chalazion pula berpunca daripada kelenjar bulu mata tersumbat dan menyebabkan bengkak, tetapi tidak sakit. Namun begitu chalazion jarang menyebabkan bengkak pada keseluruhan kelopak mata.

Anda lebih berisiko untuk mendapat ketumbit sekiranya anda:

  1. Kerap menggosok mata tanpa membersihkan tangan terlebih dahulu
  2. Tidak membersihkan kelopak dan bulu mata terutamanya selepas menggunakan kosmetik
  3. Blepharitis, sejenis radang sekeliling tepi kelopak mata
  4. Mempunyai masalah kesihatan, terutamanya pesakit kencing manis

Bagaimanakah cara untuk anda menyembuhkan ketumbit?

Biasanya, ketumbit akan hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan. Ianya juga boleh dirawat di rumah dengan melakukan tuaman suam pada ketumbit beberapa kali sehari. Sekiranya tidak sembuh, antibiotik akan diberikan terlebih dahulu. Namun begitu, dalam kes yang lebih teruk, pembedahan kecil mungkin diperlukan untuk merawat ketumbit. Harus diingatkan juga, ketumbit boleh terjadi berulang kali. Oleh itu, kebersihan kawasan mata seperti kelopak dan bulu mata adalah sangat penting bagi mencegah ketumbit.

Cara-cara tuaman suam (warm compression) adalah:
  1. Menggunakan sehelai sapu tangan atau kain yang bersih
  2. Rendam dalam air separuh panas dan perah sehingga air tidak menitis
  3. Letakkan di atas kelopak mata dengan mata tertutup selama 10 minit
  4. Ulang 2-3 kali sehari mengikut nasihat doktor anda
Cara-cara untuk membersihkan bulu mata
  1. Campurkan sedikit air bersih dan beberapa titis syampu bayi dalam bekas kecil
  2. Celup putik kapas ke dalam campuran tadi dan kesat bahagian kelopak mata yang secara lembut dengan putik kapas tersebut. Elakkan daripada terkena bahagian kornea
  3. Lakukannya 2-3 kali sehari
  4. Sekiranya kelopak mata terlalu kotor dan berkeruping, lakukan tuaman suam dulu agar keruping menjadi lembut dan senang untuk dibersihkan

Walaupun ketumbit tidak berbahaya kepada penglihatan, tetapi ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menjejaskan penampilan diri seterusnya akan mengganggu aktiviti seharian anda. Oleh itu, sekiranya keadaan masih tidak bertambah baik selepas beberapa hari atau seminggu, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.